Saya adalah seorang pegawai di syarikat swasta, lulusan dari luar negara. Perkahwinan kami pada dasarnya diatur oleh keluarga, kerana mengikut kehendak tua orang yang kononnya suka bermenantukan orang miskin. Alasan orang tua saya, isteri yang berasal dari keluarga miskin dan kurang mampu lebih taat, patuh dan setia kepada suami, berbanding dengan mereka yang datang daripada keluarga yang ada duit sikit.
“Sebelum bertunang, kami telah diberikan peluang untuk berkawan selama tiga bulan dengan tujuan untuk berkenalan lebih rapat lagi supaya tak kekok bila berkahwin nanti. Akhirnya tak sampai setahun selepas itu kami bernikah.
“Namun saya akui isteri saya seorang yang cantik dan perawakan lemah lembut. Seperti saya, dia mengaku tidak pernah ada teman yang serius sebelum kami berkenalan dan seterusnya bertunang. Secara ikhlas saya menerimanya dan menyayanginya seperti menatang minyak yang penuh. Walaupun saya menghadapi pelbagai ujian dan kerenah rumah tangga, namun kami boleh dianggap sebagai keluarga yang sungguh bahagia.
“Kehadiran tiga orang cahaya mata telah menceriakan lagi suasana dan keharmonian rumah tangga kami. Bagaimanapun memandangkan keadaan dan keperluan keluarga kami yang semakin meningkat, saya telah mengizinkan isteri saya bertugas secara syif di kilang. Saya cuma berharap isteri saya bekerja untuk empat tahun sahaja untuk membantu selesaikan hutang kereta dan kad kredit yang saya hadapi dan semua atas permintaannya juga yang bersimpati dengan masalah yang saya hadapi ketika itu.
“Apabila saya mengambil keputusan membenarkan Mazlin bekerja tentulah saya terpaksa dan sudah bersedia secara mental dan fizikal bahawa hidup saya tidaklah seselesa suami-suami lain yang isterinya menjadi isteri sepenuh masa, di mana makan minum mereka dijaga tanpa pergi ke dapur mengambil nasi sendiri kerana semuanya disediakan di atas meja.
“Saya juga faham saya terpaksa berkorban dari segi kehidupan yang sudah pastinya tidak akan menentu, ialah, kita bekerja waktu siang, sementara isteri kita terpaksa bekerja ikut syif, ada pagi ada petang dan ada juga malam. Dan saya sudah bersedia dengan keadaan ini semua. Saya juga bersedia berkorban waktu rehat Sabtu dan Ahad kerana terpaksa menjaga anak bila ditakdirkan isteri bekerja.
“Saya tak kisah semua kerja itu walaupun mengasuh anak kecil dan berjaga malam semasa ibu mereka kerja, termasuklah buat susu dan mendodoikan mereka.
“Pagi esoknya saya juga sudah bersedia menghantar anak-anak ke rumah pengasuh untuk menjaga mereka sementara ibu mereka pulang. Apabila pulang kerja, saya akan menjaga mereka. Kadang-kadang saya membuat kerja tambahan dan pulang lewat malam untuk mendapatkan wang tambahan untuk keluarga.
“Hasrat saya paling utama ketika itu adalah untuk segera menyelesaikan beban hutang secepat mungkin. Apabila hutang sudah diselesaikan saya akan meminta dia supaya berhenti kerja dan seterusnya kami dapat hidup dalam keadaan lebih selesa.
“Malang sekali, semenjak isteri saya Mazlin bekerja dan membantu keperluan untuk rumah, sikapnya semakin berubah secara beransur-ansur. Dia sudah mula pandai menengking saya, suka mengarah saya apa yang patut saya lakukan dalam rumah. Dia juga menjadi lebih kasar dengan anak-anak dan membantah setiap nasihat saya sementara semua pandangan saya untuk kebaikan bersama di dalam rumah ditolaknya ke tepi.
“Apa yang amat mengecewakan saya nasihat saya langsung tidak diambil kira, bukan itu sahaja dia juga langsung tidak mahu mendengar cakap saya, kalau mendengar pun daripada wajahnya kita dapat melihat dia bersikap acuh tak acuh sahaja.
“Apabila saya menegurnya dengan baik supaya dia ambil kira nasihat saya dia boleh jawab cakap saya balik dengan cara yang paling menyakitkan hati, katanya: “Abang kalau tak sukakan saya, abang kahwin le dengan orang lain!” Mendidih darah saya mendengarnya, kerana dia seolah-olah mencabar kesabaran saya. Pernah sekali saya menegurnya supaya dia dapat membuat kerja rumah dengan lebih pantas, Mazlin boleh balas cakap saya katanya: “Maz tak pandai buat kerja cepat-cepat. Maz memang lembap! Kalau abang nak cepat-cepat, abang kahwin le dengan orang lain.
“Kadang-kadang hati kecil saya terhiris dengan bahasanya yang kasar itu. Adakah kerana sudah dapat gaji bersih RM500 sebulan (selepas ditolak upah pengasuh), Mazlin sudah berani mencabar dan bersikap keras kepala terhadap saya, suaminya.
“Tambah menyakitkan hati saya dia boleh kata kalau dia tak kerja hidup saya akan menjadi lebih susah lagi. Macamlah gajinya banyak dan pengorbanannya itu begitu penting sekali; “Elehh! Kalau Maz tak kerja, tentu abang tak boleh tanggung keluarga kita.” Sikapnya yang keras kepala semakin menjadi-jadi setelah dia bekerja dan mendakwa gaji yang diperolehnya itu amat banyak. Pendeknya dia berubah betul!
“Dalam pada itu kata-katanya yang mencabar saya amat menyakitkan telinga yang mendengar; “Abang kalau nak cari isteri baru, carilah kalau sudah tak puas hati dengan Maz.” Pada pandangan saya dia semakin hari semakin kurang ajar dan sifatnya ini sudah bersarang dan menjadi tabiat yang susah hendak dikikis. Saya selalu makan hati dengan sikapnya yang suka buat “cincai” ketika melayan saya sebagai suaminya sendiri.
“Bukanlah maksud saya masuk bakul angkat sendiri. Saya tidak pernah keluar rumah hang around dengan kawan-kawan bujang. Jauh sekali minum arak, main judi, main betina, pukul isteri atau pulang lewat malam. Saya lebih suka berada di rumah bersama anak-anak dan isteri bila ada ketikanya kami dapat berkumpul.
“Hidup saya hanya sekitar isteri dan anak-anak. Saya terlalu sibuk dengan mereka. Saya telah membuat yang terbaik untuk isteri dan anak-anak. Saya layan isteri saya seperti puteri raja. Kasih sayang tidak pernah berbelah bahagi bahkan bertambah setiap hari. Bahkan saya kerap membantu Mazlin memasak, mengemas rumah, mencuci baju serta pinggan mangkuk dan melipat pakaian yang bertimbun-timbun itu.
“Malangnya di sebalik semua pengorbanan, kesabaran dan layanan saya itu, saya dianggap oleh Mazlin sebagai sama dengan lelaki lain. “Semua lelaki sama aje. Tak boleh dipercayai!” Mazlin seolah-olah mencabar saya untuk mencari isteri baru dan bertukar menjadi lelaki tidak bertanggungjawab. Ungkapannya yang berulang kali suruh saya `kahwin lain’ dan `semua lelaki sama’ seolah-olah mendoakan saya. Memang saya tiada niat untuk kahwin lagi kerana masa saya untuk isteri dan anak-anak terlalu terhad.
“Tapi jika Mazlin terus “cincai” melayan saya, insya-Allah, saya akan kahwin lagi dengan wanita yang tahu bersyukur dan berterima kasih untuk mengisi kekosongan hati saya selama ini. Saya sedar kesilapan saya memanjakan dia dan terlalu rapat menyebabkan Mazlin hilang rasa hormat pada saya yang bersifat fleksibel dan berfikiran terbuka ini.
“Walaupun Mazlin selalu buat salah dan tidak pernah minta maaf, tapi saya yang akan memujuknya terlebih dahulu. Hasilnya, saya dilayan lebih kurang mengikut mood dan perasaan hatinya sahaja. Hati saya pernah tersentuh dan sayu apabila ada sepupu perempuan yang menumpang sementara di rumah kami, melayan saya dengan menghantar segelas air oren tanpa diminta apabila saya baru pulang dari kerja.
“Dalam hati saya terdetak berkata: `Selama aku hidup dengan isteri aku, tak pernah pun Mazlin hidangkan aku dengan segelas air masa aku pulang dari kerja’. Sebagai suami, bukanlan saya berharap dilayan seperti raja, cukup dengan segelas air, satu kucupan dan senyuman ia sudah cukup membahagiakan suami yang penat.
“Tapi malangnya Mazlin bukannya dia yang sepatutnya melayan saya, sebaliknya saya pula yang terpaksa menatang dia macam minyak yang penuh. Kadang-kadang saya terfikir apakah kerana sudah bekerja, kerana sebelum berkahwin dahulu Mazlin memang tak bekerja, maka dia jadi satu macam punya ego, mungkin dia merasakan gajinya setiap bulan itu sudah cukup besar hingga boleh menampung kami sekeluarga.
“Pernah saya terfikir nasihat ibu bapa saya salah, konon nak cari orang kurang berada dia akan mentaati suami, malangnya saya yang bergaji sekali ganda gaji dia pula yang terpaksa tunduk dan menyayangi dia. Dia juga pernah mendakwa kalau tidak kerana duit gaji dia, hidup saya tak akan bahagia, saya akan susah. Inilah pandangan Mazlin.
“Saya juga kecewa bila ada isteri hentam keromo dengan perkara asas kebahagiaan keluarga. Ada isteri pandang suami macam penyamun. Ada isteri sanggup bersolek, berbedak dan berwangian kalau nak keluar pergi pasar tani. Tapi masa nak bersama dengan suami, jangankan nak mandi, kadang-kadang tu gosok gigi pun malas. Memang patut ada suami pasang lagi satu bila dapat layanan “cincai” isteri masing-masing.
“Bagaimanapun saya masih setia dengan Mazlin dan berdoa agar dia berubah sikap. Walaupun saya makan hati setiap hari, saya masih sabar selagi kasih sayang saya terhadap isteri dan anak-anak masih mekar. Namun hari esok, siapa yang tahu. Sabar ada hadnya. Jika terpaksa, doa Mazlin mungkin akan termakbul juga.”